Isnin, 25 Januari 2016

The Fifth Wave - Kuasa Sebuah Manipulasi

DISCLAIMER:
Ini sekadar pandangan peribadi sahaja. Aku bukan pelajar filem, bukan juga ada latar belakang dalam kritikan filem, sekadar seorang peminat cerita yang selalu melaburkan duit hampir setiap minggu ke panggung. Juga pembaca portal-portal hiburan yang ada memuatkan ulasan dan kritikan filem. Segala percanggahan pendapat, boleh saja utarakan di ruangan komen. Boleh juga berikan kritikan membina dan juga cadangan. 



REVIEW FILEM : THE FIFTH WAVE 
PENGARAH J Blakeson
PELAKON : Chloe Graze Moretz (Cassie Sullivan)
Nick Robinson (Ben Parish/Zombie)
Alex Roe (Evan Walker)
Zackary Arthur (Sam Sullivan/Nugget)



THE FIFTH WAVE



          Pengarah membuka tirai filem ini dengan babak yang mendebarkan serta menimbulkan tanda tanya para penonton. Filem ini dimulakan dengan babak seorang gadis yang memegang senapang serta membawa beg galas, berada dalam sebuah stesyen minyak yang tunggang-langgang, dan si gadis mula ‘mencuri’ makanan buat bekalan. Penonton pasti tertanya-tanya siapakah gadis itu, dan apakah yang telah terjadi, seterusnya apakah yang bakal berlaku. Saya puji babak pembukaan ini, yang mana pengarah berjaya membuat penonton untuk terus terikat di kerusi seawal dari minit pertama dan tidak sabar untuk menantikan plot-plot yang bakal disajikan sepanjang hampir 2 jam tayangan. 


Cassie Sullivan di tangan Chloe Grace Moretz ternyata digalas dengan cukup baik

Pelakon muda, Chloe Grace Moretz menggalas tugasan untuk membawa watak Cassie Sullivan, gadis cantik yang menyertai pasukan bola sepak wanita di sekolahnya. Kehadiran makhluk asing yang tidak diketahui tujuan mereka ke Bumi – The Others, merubah perjalanan hidup Cassie dan adiknya, si comel Sam Sullivan (dilakonkan dengan cemerlang oleh Zackary Arthur). Chloe yang dikenali menerusi filem Kick Ass (2010), Kick Ass 2 (2013), dan The Equalizer (2014), saya kira berjaya menggalas watak Cassie dengan cukup baik. Seorang gadis biasa yang sedang menempuhi alam persekolahan, namun kehadiran makhluk asing merubah hidupnya secara total. Selepas kematian ibunya akibat serangan virus, dan ayahnya pula terbunuh di kem pelarian, Cassie bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi Sam. Namun, mereka terpisah ketika proses pemindahan kanak-kanak dari kem pelarian, di mana Sam baru sedar dia telah tertinggal patung beruang kesayangan ketika dia dan Cassie berada di atas bas. Sedang Cassie berada di dalam kem untuk mendapatkan patung beruang Sam, bas sekolah yang membawa kanak-kanak itu telah bergerak.



Ok, masih tidak boleh move on dengan kecantikan Chloe!! Haha.


          Kesungguhan Cassie berlari untuk mendapatkan Sam, dan babak di mana Sam cuma mampu menangis memerhatikan kakaknya dari cermin bas, menyentuh hati saya. Kita dapat merasai kasih sayang antara dua beradik, serta keikhlasan seorang kakak yang sedaya-upaya berusaha untuk memenuhi keperluan adiknya. Ketika tersedar ayahnya mati dibunuh di kem tersebut, Cassie sedar hidup mereka ternyata telah berubah sepenuhnya. Babak-babak kekeluargaan seperti biasa, tidak pernah gagal untuk menangkap perhatian saya. Siapa mampu menafikan kekuatan kasih sayang sesama keluarga, bukan? Saya percaya juga, Chloe Grace Moretz bakal menyinar di industri perfileman Hollywood seandainya gadis cantik berusia 19 tahun ini terus diberi peluang untuk menggalas peranan utama dalam filem.



Nick Robinson selaku Ben Parish, antara bintang muda yang bakal menyinar.


          Sam pula dibawa ke kem askar, di mana mereka dijaga dengan rapi oleh pasukan tentera. Kanak-kanak dan remaja dikumpulkan di sana, sebelum mereka diberitahu bahawa mereka akan dilatih untuk menjadi tentera, dan merekalah harapan terakhir manusia bagi melawan serangan The Others. Di sana, Sam ditempatkan dalam pasukan yang sama dengan Ben Parish, atau nama samarannya Zombie (lakonan Nick Robinson). Anak-anak kecil ini diberikan latihan dan juga dikehendaki mempelajari asas ketenteraan sebelum diarahkan untuk bertempur dengan pihak musuh. Watak Sam, atau digelar Nugget ketika di kem tentera, mencuit hati para penonton. Anak kecil ini yang selalu dinyanyikan oleh kakaknya sebelum tidur, ternyata terlalu mentah untuk dihantar ke medan perang. Zombie selaku ketua pasukan ternyata seorang remaja matang dan bertanggungjawab, ketika dia tahu bahawa Sam takut untuk bertempur, dia bertindak untuk mengurung Sam di tandas supaya kanak-kanak comel itu terkecuali dari menyertai pertempuran. 
Nick Robinson juga pelakon muda yang wajar diberikan ruang dan peluang untuk menyinar. Selepas diberi kepercayaan untuk menerajui filem Jurassic World (2015) dan The Kings of Summer (2013), penampilan Nick dalam filem ini ternyata tidak mengecewakan. Sedikit persamaan watak yang dibawakan oleh Nick menerusi Jusrassic World dan juga The Fifth Waze ialah, dia perlu melindungi adik atau ahli kumpulan yang lebih kecil, di mana penonton dapat melihat sifat matang dan tanggungjawab sebagai seorang abang. Zackary Arthur pula yang pernah berlakon dalam tv series Transparent (memenangi anugerah Golden Globe), ternyata cukup comel dan berjaya mencuri perhatian penonton. Karakternya yang suci dan pure cukup menjadi, dan Zackary ternyata memberi persembahan yang cukup bersahaja.



Si comel Zackary Arthur, pasti menambat hati para penonton dengan lakonan bersahajanya

  Saya menyukai mesej yang cuba dibawakan dalam filem ini. Filem ini memberi metafora bahawa kanak-kanak sebenarnya ibarat sehelai kain putih, andai molek kita corakkan mereka, maka baiklah mereka jadi, dan jika salah asuhan, maka hancurlah generasi masa hadapan. Ketika penonton tertanya-tanya apakah Gelombang Kelima (Fifth Wave) yang bakal menyusul selepas The Others melancarkan 4 siri serangan berperingkat ke Bumi, ternyata rupanya kanak-kanak di kem tentera itulah yang menjadi serangan terakhir The Others. Keupayaan mereka untuk menyerupai manusia ternyata menjadi satu kelebihan buat mereka untuk memanipulasi pemikiran remaja dan kanak-kanak tersebut. Dengan menyamar sebagai pasukan tentera, The Others berjaya untuk memperdayakan kanak-kanak tersebut, dan menjadikan mereka sebagai tentera yang bakal membunuh penduduk Bumi itu sendiri. J Blakeson selaku pengarah berjaya mengemudi filem ini dengan baik, dan memberi plot twist yang menjadi. Siapa sangka pasukan tentera yang menjadi harapan manusia melawan serangan makhluk asing, rupanya merekalah musuh yang perlu ditumpaskan. Sama juga seperti situasi politik tanah air, dan juga seluruh dunia sebenarnya. Sedang kita mengharap pada para pemimpin untuk memperjuangkan nasib dan masa depan kita, sebenarnya mereka jugalah pengkhianat yang berjuang demi kelansungan hidup mereka sahaja, sedangkan rakyat jelata punya sengsara dibakul-sampahkan sahaja. Itu metafora yang saya nampak menerusi filem ini, jika kalian punya pendapat lain, saya mempersilakan untuk sama-sama menambah di ruangan komen.

Namun begitu, pengarah juga memberi sedikit harapan kepada para penonton. Dalam kekalutan yang menimpa manusia, muncul watak Evan Walker (digalas oleh Alex Roe) yang menyelamatkan Cassie dan bersungguh-sungguh untuk menemani Cassie ke kem tentera. Pelbagai persoalan tentang karakter Evan ini, serta personalitinya yang sedikit misteri. Kesediaan dia untuk setia bersama Cassie akhirnya terjawab pada penghujung filem, bahawa dia juga sebenarnya sebahagian daripada The Ohters, namun kekuatan cinta dan kasih sayang membuatkan dia berubah fikiran daripada terus memerangi dan menghapuskan manusia dari planet mereka. Evan memilih untuk menjadi seperti manusia, dan dia sendiri bertindak untuk memusnahkan kem tentera yang dikuasai oleh The Others.



Evan Walker, watak yang muncul dengan misteri

Pengarah sengaja terus meninggalkan penonton dengan tanda tanya apabila menamatkan filem dengan babak tergantung. Saya percaya filem ini akan ada sekuelnya jika penerbit mendapat pulangan yang lumayan dari filem ini. Dan saya pasti akan menonton sambungan kepada pengembaraan anak-anak muda ini bagi mengetahui bagaimana mereka perlu menumpaskan makhluk asing tersebut, dan masihkan ada harapan dalam kehidupan kita.



Antara babak mendebarkan dalam The Fifth Wave

Menerusi komen di FB saya (selepas saya memuat naik status usai menonton filem ini), rata-rata menyatakan bahawa filem ini tidak menarik perhatian mereka, dan mendapat ulasan yang buruk dari ramai pemerhati filem. Namun, saya pula berpandangan sebaliknya. Saya akui, filem ini cuma sederhana dan tidaklah terlalu cemerlang, namun ada beberapa perkara yang saya kira wajar perlu diberikan pujian.

          Pertama, persembahan barisan pelakon muda yang menjadi. Perlu kita ingat, filem ini tidak diterajui dan ditangani oleh nama-nama besar, namun penampilan mereka dan persembahan mereka ternyata menjadi menerusi filem ini, terutama watak Cassie lakonan Chloe. Penonton dapat merasai kesakitan-kesakitan yang Cassie alamai, sewaktu dia menjumpai mayat ayahnya yang mati ditembak di kem pelarian, juga kesakitan dia alami ketika terpisah dengan Sam sedangkan dia sudah diberikan amanah oleh ayahnya untuk menjaga Sam. Saya juga tersentuh dengan babak di mana Cassie bertemu semula dengan Sam, di mana ketika Cassie ingin memulangkan patung beruang yang cukup disayangi adiknya itu, namun Sam memeluk dia dan tidak mengendahkan patung itu. Secara halus, pengarah menunjukkan bahawa kekuatan kasih sayang itu yang pada akhirnya, tiada apa pun yang lebih penting selain keluarga kita sendiri. Saya juga suka babak di awal filem, ketika Sam tidak boleh tidur, kakaknya datang dan menyanyikan lagu untuk adiknya sampai anak kecil itu tertidur. Lihat, seperti saya cakap, you will never go wrong dengan babak kekeluargaan.


Mesej Kekeluargaan dalam filem? Siapa yang tidak suka, bukan?
          Saya juga menyukai mesej yang disampaikan dalam The Fifth Wave. Kupasan mengenai isu manipulasi pemikiran cukup saya sukai. Pengarah tidak perlukan babak yang terlalu ekstrem dan berat, mungkin kerana target audience filem ini lebih kepada kanak-kanak dan seluruh isi keluarga, namun penyampaian secara bersahaja itu pada saya masih mampu meninggalkan kesan dan membuatkan penonton untuk terfikir pemikiran yang cuba disampaikan oleh pengkarya itu sendiri. Dan oleh kerana filem ini pasti ditonton oleh seluruh isi keluarga, tiada babak-babak yang ekstrem dan ganas melibatkan adegan pertempuran, saya percaya pengarah perlu menjaga sensitiviti masyarakat dan juga ibu bapa.  Saya juga merasakan bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih tegas. Terdapat 2-3 babak ciuman mulut dalam filem ini, namun telah dipotong bagi tayangan di negara kita. Walaupun saya terasa sedikit awkward dengan pemotongan itu yang mencanggungkan kesinambungan plot, namun seperti mana kita tahu, pada hujung tahun 2015 LPF telah mewara-warakan bahawa mereka akan lebih tegas dalam aspek penapisan filem luar dan juga dalam negara.




Mampukah Cassie dan Zombie menyelamatkan Sam, seterusnya menyelamatkan diri mereka?

Untuk itu, saya puji usaha yang telah mereka laksanakan.

Secara keseluruhan, saya rasa filem ini wajar diberi 3.5 bintang secara keseluruhan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan